Wednesday, July 29, 2009

PENGARUH FILEM BARAT DALAM MEMBENTUK TINGKAH LAKU REMAJA MASA KINI

Di zaman millenium yang serba canggih kini, manusia sering terdedah dengan elemen-elemen hiburan yang di bawa oleh arus kecanggihan dunia digital yang pelbagai. Media elektronik adalah merupakan salah satu sumber maklumat yang popular dan amat penting selain berperanan sebagai saluran untuk menyampaikan mesej sama ada melalui televisyen, radio, telefon bimbit dan juga filem.

Kecanggihan teknologi ini telah mengubah dunia kepada satu paradigma yang lebih efisyen, cepat dan mudah. Bukan sahaja mampu mengubah dunia malah manusia sebagai pengguna sekaligus. Filem adalah salah satu contoh daripada media fotografi dan merupakan sumber komunikasi melalui ekspresi cereka yang di salurkan kepada penonton sebagai penerima mesej. Pelbagai genre filem di persembahkan seperti komedi, romantic, seram dan thriller.


Di Malaysia, para penggiat filem lebih gemar menghasilkan filem berunsur ketimuran, romantik komedi, patriotic dan kadang kadang berintipatikan isu-isu semasa. Lembaga Penapisan Filem (LPF) telah menggariskan beberapa perkara yang tidak di benarkan terkandung dalam filem yang bakal di siarkan. Ini adalah salah satu usaha untuk mengekalkan budaya ketimuran Malaysia. Sudah pastinya bukan filem ‘orang kita’ sahaja yang menjadi sajian penonton untuk mencari hiburan selain mendapat maklumat. Lihat saja di panggung-panggung wayang dan jualan-jualan vcd dan dvd di beberapa pusat membeli-belah, filem-filem dari negara luar turut mendapat perhatian masyarakat kita. Filem budak sihir ‘Harry Potter’ sebagai contohnya telah menggegarkan industri perfileman di seluruh dunia kerana telah berjaya mencapai jualan berjuta-juta unit biarpun jalan cerita tersebut penuh khayalan dan imaginasi. Filem alam magik karya JK Rowling ini mampu mempengaruhi jutaan penonton seluruh dunia malah seorang kanak-kanak kecil mampu menghabiskan masa membaca buku tebal kisah budak sihir dan rakan-rakannya. Sememangnya tabiat membaca satu habit yang berfaedah tetapi sekiranya tidak terkawal boleh mengkhayalkan minda kanak-kanak hingga boleh mencipta dunia imaginasi tersendiri.

Filem-filem barat sudah pastinya membawa unsur kebaratan sebagaimana penggiat filem kita mempraktikan budaya ketimuran dalam produk filem mereka. Tidak dinafikan penonjolan budaya yang di tampilkan dalam filem barat banyak terselit adegan ganas, perang, pengambilan dadah dan arak, pembunuhan, lucah, tidak bersopan, hasad dengki, mementingkan diri dan terlalu kebendaan. Selain itu penggunaan bahasa ‘asing’ atau bahasa rojak yang adakalanya membawa maksud yang kasar serta lucah sering menjadi ikutan remaja. Unsur-unsur negatif sebegini tidak sepatutnya menjadi sumber hiburan yang ditonjolkan dalam filem. Sudah pasti ianya mampu menarik minat dan mempengaruhi minda malah perilaku audien khususnya golongan remaja.

Remaja adalah satu peringkat usia di mana golongan ini mudah terpengaruh serta gemar mencuba sesuatu yang baru. Remaja begitu proaktif bagi mengaplikasikan diri dengan penggunaan alat-alat teknologi seiring dengan era teknologi canggih kini,. Salah satu sebabnya adalah untuk mencari hiburan. Remaja begitu sinonim dengan filem, buktinya panggung-panggung wayang kebanyakannya adalah dari pengunjung golongan remaja. Sama ada secara berkumpulan bersama rakan-rakan atau keluarga malah ada juga yang berpasangan bagi mengisi masa terluang.

Kemajuan zaman teknologi kini lebih memudahkan lagi bagi golongan remaja mendapat dan menonton cerita-cerita dari filem yang tidak sewajarnya. Sesuai dengan perasaan ingin tahu, remaja pastinya gemar menonton corak jalan cerita yang pelbagai seperti keganasan dan imaginasi yang sering ditonjolkan oleh filem-filem barat. Tidak salah sekiranya mempunyai perasaan ingin mengetahui sesuatu tetapi remaja sendiri perlu menimbang sama ada sesuatu isi kandungan cerita itu boleh memberi manfaat yang sewajarnya ataupun tidak. Sekiranya pendedahan terhadap filem berunsurkan negatif ini dibiarkan berterusan tidak mustahil akan timbul perasaan ingin mencuba di kalangan remaja. Tidak hairanlah terjadinya kes-kes jenayah, pembunuhan, pergaulan bebas serta pengambilan dadah dan arak di kalangan remaja. Tidak mustahil diantara sebab-sebab remaja melakukan kes-kes begini adalah daripada apa yang mereka tonton melalui media fotografi ini.

Golongan remaja yang sepatutnya menghabiskan peringkat usia mereka dengan memperolehi ilmu dan didikan yang sewajarnya untuk bekalan di masa hadapan bukannya terus bergelumang dengan melibatkan diri dengan masalah-masalah yang merugikan di sendiri.

Prof. Madya Dr. Naim Hj Ahmad menjelaskan sebab yang mudah mempengaruhi golongan remaja kita sekarang adalah melalui filem. Tidak di nafikan filem barat sudah banyak memasuki pasaran industri perfileman Malaysia. Tidak bermakna keseluruhan filem-filem barat ynag di bawa masuk itu mempunyai unsur-unsur negatif seperti ynag di nyatakan. Ada juga filem-filem barat yang mendorong kepada nilai-nilai murni, pengajaran dan pendidikan.
Pengaruh dan perubahan tingkahlaku golongan remaja itu adalah daripada sikap ambil mudah tanpa berfikir dengan akal yang bijak. Sememangnya remaja gemar mencari hiburan sesuai dengan peningkatan usia mereka.

“ Pengaruh memang ada di mana-mana sahaja. Golongan remaja khususnya mudah menerima sesuatu yang baru sebagai satu keseronokan dan hiburan dalam hidup mereka. Apa yang dapat di lihat sekarang, pengaruh barat semakin terus menjalar dalam kehidupan kita terutama sekali remaja. Terdapat empat aspek utama cara mereka cuba mempengaruhi kita iaitu melalui 4F (FOOD, FUN, FILM, FASHION). “ Melalui empat perkara ini mudah sahaja kita di pengaruhi kerana ianya terselit sebagai satu hiburan dan juga sebagai trend terkini. Lihat sahaja perubahan anak-anak remaja sekarang yang jauh berbeza sebagai anak timur dari segi pemakaian, pertuturan, gaya hidup dan keperibadian. Sekiranya tidak dicegah lebih awal lagi, tidak mustahil hilanglah warisan adat ketimuran yang kita pelihara selama ini.

Oleh itu, didikan agama dan pengawalan untuk seseorang remaja itu dari kecil lagi perlu di titikberatkan agar mereka tidak mudah terjerat dengan kehidupan bebas terutama zaman teknologi yang penuh mencabar kini,”ujarnya lagi.
Persoalan kenapa golongan remaja memilih filem dari barat adalah mungkin berdasarkan minat dan sesuai dengan peningkatan usia mereka. Disebabkan minat tersebut boleh menimbulkan pengaruh ynag buruk sekiranya di biarkan berterusan.“ Di negara kita masih kekurangan filem untuk di pasarkan. Walaupun begitu tidak bermakna kita menyokong dan menerima seratus peratus sesuatu filem itu”, tambah Naim lagi.Sebagai orang yang berpengalaman dalam bidang filem, Naim Ahmad menjelaskan lagi pemilihan sesuatu filem itu bergantung pada seseorang individu.

Bagi golongan remaja tidak salah menonton filem untuk hiburan tapi biarlah hiburan yang di ambil adalah bertempat.Justeru, filem barat bolehlah kalau disifatkan seperti serbuk dadah, walaupun mengandungi kebaikan tetapi kesan dan mudaratnya adalah lebih banyak. Sekiranya tidak dicegah serta tanpa pengawalan yang rapi keadaan ini akan menambah masalah dari segi keperibadian seseorang individu terutama remaja sebagai pendukung masa depan negara.

Dalam segala hal ini, pelbagai cara boleh diambil sebagai satu jalan penyelesaian yang menjurus kepada kerjasama semua pihak. Seperti yang sudah termaktub dalam garis panduan yang diatur oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) antaranya adalah; menjaga keselamatan Negara dan keharmonian kaum serta melindungi kepentingan Negara dan rakyat daripada pengaruh buruk dan unsure-unsur negatif yang mungkin dipaparkan dalam sesetengah filem, sejajar dengan tuntutan prinsip-prinsip Rukun Negara. Kemasukan filem barat bukanlah diharamkan sama sekali tetapi adalah sesuai jika kandungan filem tersebut bertepatan dan boleh diterima oleh semua pihak sebagai tontonan umum terutama golongan remaja.

Selain daripada itu, pengawalan daripada ibu bapa adalah amatlah penting bagi memastikan sumber hiburan terutamanya filem yang ditonton oleh anak-anak adalah bersesuaian dengan peringkat usia mereka. Didikan sedari kecil juga berperanan membentuk keperibadian anak-anak dari melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan tahu membezakan yang mana boleh di anggap positif dan negatif. Ibu bapa juga berperanan menjelaskan dengan sebaik mungkin kepada anak-anak bahawa tidak semua cerita dari alat media fotografi itu adalah reality.
Pendidikan dari sekolah juga penting supaya remaja dapat mengaplikasikan pengajaran yang baik dan berguna dalam kehidupan mereka.Apa yang lebih membimbangkan juga adalah penjualan vcd atau dvd yang berleluasa memudahkan golongan remaja mendapatkan cerita-cerita dari filem barat yang adakalanya tanpa tapisan dan saringan. Remaja juga sanggup membeli sebuah vcd atau dvd fiilem yang diminati dengan harga yang original. Kegiatan penjualan vcd atau dvd tanpa tapisan oleh sesetengah pihak ini perlulah di ambil perhatian dan setiap aktiviti mereka perlulah dipantau untuk memastikan keadaan ini terkawal.
Walaubagaimanapun, penghasilan dan penghayatan yang menarik dari filem Malaysia adalah titik tolak penerimaan penonton khususnya remaja agar mereka lebih tertarik dengan budaya filem ditempat sendiri. Berkemungkinan filem barat menggunakan unsure-unsur sebegitu untuk menarik perhatian dan mempengaruhi minda remaja secara halus.
Oleh yang demikian satu cara yang dinamik dan inovatif juga perlu di praktikan dalam filem kita diselit dengan unsure pengajaran dan pendidikan bagi menarik minat remaja menonton filem yang lebih memberi mnafaat. Sebagai contoh, filem KL MENJERIT arahan Badaruddin Azmi berjaya menarik perhatian remaja kerana berkisar mengenai kehidupan mat rempit, satu fenomena remaja masa kini yang mana kesudahnnya membawa pengajaran dan keinsafaan. Ini merupakan salah satu contoh filem yang menarik perhatian remaja tapi dalam masa yang sama menyedarkan mereka.Tidak dinafikan pengaruh media amat kuat sekiranya tidak diaplikasikan dengan baik. Begitu juga dengan filem. Perubahan filem juga mengikut peredaran zaman hinggalah terhasilnya filem moden di era globalisasi ini. Segalanya berubah wajah dari segi pakaian, pertuturan, tingkahlaku dan cara pergaulan. Golongan remaja tidak hanya terpengaruh tingkahlaku tetapi cara pemakaian, gaya hidup dan segalanya sudah berubah sesuai dengan peredaran masa.

Adalah amat merugikan sekiranya identiti dan budaya kita hilang apabila remaja yang dianggap pewaris dibayangi imej barat. Akhirnya apabila sering mengadaptasikan apa yang ditonton dalam filem barat remaja seolah lupa imej identiti bangsa sendiri yang sebenarnya. Tanpa memikirkan apa yang diterima itu bertentangan dengan adat dan agama. Sehinggakan akan timbul satu persepsi sesiapa yang tidak mengikuti budaya dan gaya moden Barat dianggap kolot dan kuno. Keadaan ini bakal menimbulkan kekeliruan identiti dikalangan anak remaja. Justeru, filem bolehlah dianggap sebagai ejen mempromosikan bangsa dan adat sesebuah negara disamping menampilkan nilai-nilai murni dan pengajaran. Filem barat yang melampau perlulah dikikis dari minda remaja agar warna bangsa dan adat negara tidak akan luntur!

Sumber : Udin Syamsudin


0 comments:

Post a Comment

◄ Newer Post Older Post ►
 

Copyright 2009 - 2012 Media Pembelajaran is proudly powered by blogger.com | Design by Tutorial Blogspot